Friday, February 7, 2014

Without You 2


Aku terjaga dari tidur. Aku kerling jam di sisi. Sudah hampir ke subuh. Terasa baru sekejap aku tidur. Mimpi apakah itu? Aku baru tidur selepas mengerjakan solat istikharah meminta petunjuk adakah benar Abang Am adalah jodohku.






Apakah petanda mimpi itu? Aku bermimpi ada sepasang tangan yang menghulurkan sejambak bunga matahari. Tetapi badan dan wajah lelaki tadi langsung aku tak nampak. Hanya nampak tangan sahaja. Ya Allah, berilah aku petunjuk.

Azan mula kedengaran menandakan sudah masuk waktu subuh. Tanpa berlengah lagi, aku terus mandi lalu mengerjakan solat sunat sebelum subuh dan diikuti dengan solat fardhu subuh. Pada solat sunat aku membaca surah al-Fatihah diikuti dengan surah al-Kafirun manakala pada solat fardhu subuh pula aku membaca surah al-Fatihah dan surah al-Insyirah kerana aku pernah mendengar ustaz kata jika kita mengamalkannya dari awal, insyaallah dijauhkan dari penyakit berbahaya dan kronik. Aku juga mengamalkan mandi sebelum subuh dengan air sejuk kerana mengikut sunah nabi ianya akan menyegarkan tubuh badan dan membuatkan kita lebih sihat.

Semuanya aku belajar di sekolah tempat aku mengajar sekarang. Aku sungguh bertuah kerana dihantar untuk mengajar di sebuah sekolah agama bantuan kerajaan dan sekolah itu juga hampir dengan rumahku. Mudah untukku. Sekolah Agama Ar-Rayyan. Itulah sekolah tempat aku mengajar. Sekolah yang sangat damai. Pelajar-pelajarnya juga sangat bersopan santun dan pandai menjaga adab dan batasan lelaki dan perempuan. Sesungguhnya aku sungguh bertuah.



Usai mengerjakan solat subuh, aku terus mencapai al-Quran tafsir kecil yang terletak di atas meja. Aku menyambung bacaanku yang telah aku tanda muka suratnya dengan penanda buku yang dihadiahkan oleh pelajarku sempena Hari Guru tahun lepas.


Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya, kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui.    (Surah An-Nur ayat 32)




Aku berhenti seketika tatkala sampai ke ayat tersebut, Di sini, Allah menganjurkan lelaki-lelaki dan perempuan-perempuan untuk berkahwin jika telah ada kemampuan. Anjuran untuk berkahwin atau bernikah ini adalah salah satu cara untuk kita elakkan dari melakukan zina dan maksiat. Oleh itu, Rasulullah SAW dalam riwayatnya juga telah meletakkan panduan untuk kita umatnya dalam memilih pasangan yang betul.



Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud, "Kahwinilah wanita itu kerana empat perkara, kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikan dan kerana agamanya. Pilihlah wanita yang beragama, nescaya engkau akan selamat".




Setelah menyambung beberapa muka surat al-Quran, aku terus meletakkan al-Quran di atas meja lalu membuka telekung dan melipatnya dan disangkut di rak. Aku terus keluar untuk membantu umi membuat sarapan. Sarapan biasanya tidaklah banyak sangat kerana yang hendak makan hanyalah 3 orang. Aku, umi dan abah. Walaupun masih awal pagi, tapi aku sudah biasa kerana aku seorang cikgu. Cikgu haruslah kerja awal. Abah pula selepas balik dari surau terus sarapan. Walaupun sekarang cuti sekolah, aku sudah biasa begini.

Biasanya rutinku bermula pada pukul 5.30 pagi. Usai solat subuh, aku terus turun ke dapur untuk membantu umi membuat sarapan. Kadang-kadang umi seorang yang buat, aku tengok sahaja dan bantu apa-apa yang patut. Selepas abah balik, kami akan makan bersama.

Kemudian, aku akan menyiram pokok bunga di luar sambil menghirup udara segar. Selepas itu, aku terus bertolak ke sekolah dengan kereta Myvi putih aku. Walaupun rumah dan sekolah aku dekat, tetapi berpeluh juga kalau berjalan kaki. Adalah dalam 5 km.

Selepas itu mulalah rutinku sebagai seorang guru sekolah menengah. Aku akan balik ke rumah pada pukul 3 petang setelah siap semua tugasku.

Adik aku Husna Nabila yang kini berusia 20 tahun kini sedang bercuti dengan sahabatnya di Pulau Langkawi. Maklumlah, tahun depan sudah semester terakhir. Katanya hendak melepaskan stress selepas penat belajar hampir satu tahun. Macam-macam.

“Umi, hari ni masak apa?” soalku kepada umi yang sedang menyenduk nasi goreng untuk dimasukkan ke dalam bekas. Nampaknya umi sudah siap masak. Lambat lagi aku hari ini.
“Masak nasi goreng. Kakak tolong buatkan air. Umi tak sempat tadi.” Arah umi. Tangannya lincah bekerja.
“Okey. Tapi, umi…kenapa kakak rasa macam banyak je nasi goreng tu. Ada orang nak datang ke?” tanyaku sambil tangan ligat membancuh air. Biasanya aku akan buat 2 jenis air. Air kopi untuk abah dan air teh-O untuk aku dan umi.

“Nanti mak ngah nak datang.” Tutur umi yang membawa debar di hati.



**************************







“Assalamualaikum.” Aku terus mengintai dari dalam rumah tatkala mendengar suara orang memberi salam dari luar. Hatiku terus berdetak laju tatkala mata aku melihat mak ngah bersama keluarganya datang. Semua ada. Pak ngah, mak ngah, abang Am, dan adik bongsunya, Natasha Aqilah. Adiknya sebaya dengan Husna Nabila, adik aku.

Aku terus capai tudung sarung yang berwarna hitam yang tersadai cantik di lengan sofa. Tudung yang sama seperti semalam semasa Mak ngah dan abang Am datang. Memang itu tudung ekspresnya. Senang, sarung sahaja.

“Kakak, pergi sambut mak ngah tu. Umi ada kerja sikit ni.” Laung umi dari dapur. Entah kerja apa lagi yang hendak buat. Setahunya semua makanan sudah dihidang sekali dengan airnya. Pasti umi ada rancangan ni.
“Yelah.” Jawabku lemah. Aku menghela nafas lemah. Jantung sudah memulakan operasinya. Mahu terlompat jantung kalau laju sangat macam ni. Aku melangkah ke pintu utama lalu membuka pintu dengan senyuman manis.

“Jemput masuk mak ngah, pak ngah, Tasha…” Aku bersalam dengan mereka kecuali abang Am. Wajah abang Am pun aku tak pandang. Tetapi, aku dapat rasa mata abang Am tengah pandang aku sekarang ni. Wahai jantung, duduklah diam sikit kat dalam tu. Tak bernafas aku dibuatnya.

“Duduklah dulu. Ain buat air kejap.” Aku memberi alasan. Tidak betah untuk duduk di samping keluarga itu. Walaupun air sudah disiapkan awal lagi, namun aku rasakan itu sahaja alasan yang munasabah dan cepat yang mampu aku fikir setakat sekarang ni.

“Alah, tak payahlah susah-susah. Lagipun, kita orang dah minum kat rumah pun.” Ujar mak ngah. Apa aku peduli! Aku terus ke dapur setelah memberi senyuman manis kepada mak ngah. Aku cuba menghiraukan kewujudan abang Am.

“Eh! Dah sampai pun. Saya ada di dapur tadi panaskan lauk. Tu yang tak perasan semua dah datang.” Umi mula keluar setelah aku masuk ke dapur. Macam pass batton je. Umi ni…iya..iya je tak perasan. Tadi, umi jugak yang suruh aku ke depan. Apalah umi ni!

“Hah! Marilah ke meja makan. Sarapan dah sedia pun. Hari special sikit. Ain yang masak. Tulah, pagi tadi dia yang beria nak masak. Katanya, mak ngah nak datang.” Ajak umi ke meja makan. Aku di dapur sudah tersedak air liur. Apa umi ni? Tak ada kerja aku nak masak untuk dia orang! Umi bukan tak tahu, aku bukannya pandai masak pun. Malunya!

“Eh, Ain apa buat dekat dapur lama-lama? Airnya dah lama buat pun. Lupalah tu.” Umi bersuara lagi. Umi ni kenapa? Pelik semacam je. Takkan dah berkenan sangat dengan abang Am tu?

Aku keluar dari dapur dengan tangan kosong. Bibirku terukir senyuman sumbing. Semua mata mula menyerbu ke arah aku. Aku berdeham kecil. Aku terus mengambil tempat duduk di meja makan sebelah Tasha. Mujurlah meja makan ini mempunyai 8 kerusi. Berlebih satulah.

Abah yang tadi di bilik sudah turun setelah mendengar riuh rendah di bawah.

“Ain, cedoklah nasi goreng tu. Nanti sejuk pulak.” Aku berwajah manis. Tangan aku lincah mencedok nasi goreng ke pingan-pingan. Langsung aku tak angkat kepala kerana abang Am ada di hadapan aku. Aku cuba bertenang. Dia ni tak ada perasaan ke? Dah kena tinggal dengan tunang pun, masih steady lagi. Aku tak tahulah mampu ke tak aku nak jatuh cinta dengan dia balik. Entah kenapa sekarang ni, aku masih mengharapkan Nu’aim Adha untuk datang menyelamatkan keadaan. Kalau dia muncul sekarang, dan datang meminang aku, pasti aku terima tanpa ragu-ragu lagi.

“Eh, banyaknya nasi goreng tu. Siapa nak makan kakak?” Aku tersedar tatkala mendengar suara umi mencelah. Aku melihat pinggan yang kuisi, memang penuh satu pinggan. Entah berapa senduk aku letak? Ini mesti kes mengelamun. Buat malu je.

Sarapan kami diselangi dengan perbualan-perbualan kosong orang-orang tua. Sesekali ada juga abang Am dan Tasha mencelah. Cuma aku sahaja yang senyap. Tak tahu nak mencelah mana-mana. Aku mengajar sejarah bukan mengajar isu-isu semasa. Aku hanya mendengar sambil makan.