Monday, March 24, 2014

Without You 3



Assalamualaikum and Hai... Dah lama sangat kot Atiqa tak post karya..Soo sorrryy pada sesiapa yang menunggu *macam lah ada yang menunggu..hihihi 
So, enjoy ;)


^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

Usai makan, semua ke ruang tamu. Cuma aku dan Tasha yang ada di dapur mencuci pinggan mangkuk. Yang lain semua di ruang tamu. Entah apa yang mereka bualkan aku pun kurang pasti. Sesekali ada tawa memecah. Sesekali ada suara yang mencelah. Riuh juga.

“Kak, betul ke akak nak nikah dengan abang?” tanya Tasha sambil tangannya lincah mengelap pinggan yang sudah dibilas kemudian meletakkan pinggan itu di raknya. Aku pula mencuci dan membilas pinggan.

“Mana Tasha dengar?” soal aku kembali. Soalan dibalas soalan. Aku pasti aku belum menyatakan keputusan aku. Langsung tiada!

“Orang dah besarlah. Umur pun dah 20 tahun. Cakaplah cepat! Alah,akak ni…takkan dengan Tasha pun nak malu. Sharelah kak…” Tasha tetap juga menggesa. Tangannya menggoncang-goncang lengan kanan aku.

Apa aku nak jawab ek? Nak cakap terima ke tak? Berat betullah soalan dia. Tak ada dalam skema jawapan yang aku biasa tengok. Fikiranku mula mencari kata yang sesuai untuk menjawab soalan Tasha.

“Sebenarnya akak……”

“Ain, ke sini kejap. Apa yang lama sangat basuh pinggan tu?” Suara umi dari belakang memintas kata-kata yang terlintas di benakku tadi. Mendengar sahaja arahan umi, aku terus mencuci tangan yang dipenuhi dengan sabun lalu ke pandang Tasha yang berada di sebelahku. Aku menjelirkan lidahku tanda aku menang. Bwekk! WooHoo…!

“Tak apa. Akak hutang satu benda dengan Tasha. Tasha akan tuntut juga. Nasib baik makcik datang selamatkan.” Tasha berkata perlahan. Yakin sahaja yang dia mampu mengorek rahsia daripada aku. Aku terus mengorak langkah ke ruang tamu. Orang pertama yang aku terpandang adalah Abang Am yang segak menggayakan t-shirt berkolar berwarna ungu. Aku terus pandang ke bawah tatkala menyedari abang Am juga sedang merenungku.





Aku menarik nafas panjang sebelum duduk di sofa bersebelahan umi tetapi malangnya abang Am pula duduk betul-betul berhadapan denganku Cuma kami hanya dipisahkan dengan sebuah meja kopi ditengah-tengah.

Suasana hening menyelubungi kami. Aku tidak tahu apa yang patut aku katakan. Aku hanya menunduk kerana aku sedar aku menjadi perhatian semua orang yang sedang duduk di ruang tamu ini. Hatiku berdetak kencang. Air liur kutelan payah.

“Kakak, kakak dah ada keputusan?” tiba-tiba umi mencelah. Tangan kanan umi berada di atas pahaku. Ketika ini akalku seperti sudah tidak berfungsi untuk membolehkan aku merangka ayat yang terbaik untukku katakan. Lidahku kelu seribu bahasa.

Aku kalau boleh mahu menolak sahaja ‘pinangan tak rasmi’ ini. Namun, apabila aku melihat wajah-wajah di hadapanku kini, terasa payah pula untuk aku arahkan kepalaku untuk menggeleng.

“Ain, mak ngah berharap sangat. Ain tak kesian dekat mak ngah ke?” mak ngah pula yang bersuara. Kata-katanya mampu menggoyahkan tembok yang kubina utuh sejak tadi. Lama-lama cair hatiku. Aku menghela nafas berat. Payah untuk aku membuat keputusan kerana ianya bersangkut paut dengan masa depanku.

“Makcik, mak, kalau boleh Am nak jumpa sekejap dengan Ain dekat luar, boleh?” Aku mengalihkan pandangan ke arah abang Am pula. Dahiku berkerut.

“Ain, sekejap.” Abang Am memandangku pula lalu dia mengisyaratkan aku keluar. Dia sudah pun bangun untuk pergi ke balkoni rumahku. Aku menoleh ke wajah umi. Umi hanya menganggukkan kepalanya lalu tersenyum manis begitu juga mak ngah. Tasha juga.




Akhirnya, aku mengikut langkah abang Am ke balkoni. Di balkoni rumahku, tersedia empat biji kerusi batu yang mengelilingi sebuah meja bulat kecil. Aku duduk bertentangan abang Am. Kami senyap buat seketika.

“Ain, Abang Am nak tanya, Ain dah ada calon ke?” Abang Am memulakan pertanyaannya. Nada suaranya mendatar tapi kedengaran tegas di telingaku. Apa yang harus aku jawab? Perlu ke aku kata, aku sedang menunggu seseorang. Tapi, sampai bila nak tunggu, Ain? Kalau dia bukan jodoh kau? Ahhh! Serabutnya kepala!

Aku hanya menggelengkan kepala.

“Ain sanggup kahwin dengan Abang Am?” tanyanya lagi. Pertanyaannya kali ini membuatkan aku tersentak. Tidak sangka dia sungguh lurus orangnya. Polos sekali dengan wajahnya yang memang nampak innocent.

Kepalaku kini betul-betul berserabut dengan pelbagai andaian. Kalau aku kahwin dengan dia dan dapat anak, adakah kami akan bahagia? Kalau kami kahwin, adakah kami boleh menjadi sepasang suami isteri yang menjalankan tanggungjawab dengan betul? Bolehkah dia membimbingku? Adakah agamanya sebaik Nu’aim Adha? Dan, kalau tiba-tiba Nu’aim Adha muncul, apakah akan terjadi pada perhubungan kami?

“Ain?”

Aku mengangkat kepala menentang mata hitamnya. Namun, tidak lama kemudian, aku menunduk kembali tidak mampu merenung dia lama-lama. Jantungku memang sedari tadi terlebih mengepam darah.

“Abang Am tak sedih ke? Abang Am boleh ke terima Ain sebagai isteri?” Aku mengalihkan soalan kepadanya kembali. Mana tahu kalau-kalau dia juga terpaksa berkahwin denganku. Dapatlah aku memberi alasan agar dapat menolak pinangannya.

Aku dengar helaan berat keluar dari bibir merah Abang Am. Baru kali ini aku duduk sedekat ini dengannya mahupun dengan mana-mana lelaki. Baru aku sedar bahawa bibir Abang Am merahnya lain. Merah seperti orang yang menghidap rokok tetapi tidaklah sebiru  penghisap rokok tegar.

“Siapa yang sedih kalau ditinggalkan tunang sendiri. Abang Am memang sedih dan kecewa sebab kami dah lama bercinta tapi bila makin dekat nak nikah, hubungan kami makin lama makin dingin, penuh dengan pertengkaran. Bila fikir-fikir balik, baik kami putus. Tapi yang buat abang Am kecewa, dia yang putuskan dulu lari macam tu je. Lepas seminggu baru cakap minta putus. Itupun melalui mesej. Bayangkan kami bina hubungan kami selama 5 tahun, dia boleh putuskan hubungan kami hanya dengan satu mesej. Hati abang Am sekarang ni memang kosong. Jujur abang cakap. Tapi, abang kesian dengan mak. Dia dah buat macam-macam. Dewan dah tempah. Kad kahwin pun dah edar. Maklumlah, sekarang ni semua kena buat awal-awal. Dewan kena tempah setahun sebelum. Kalau lambat alamatnya tak dapatlah. Soal nikah kali ni, abang Am serah kat mak je. Jadi, Abang Am harap Ain faham situasi abang dan keluarga abang. Tu je. Ain seorang je harapan abang sekarang ni.” Panjang lebar abang Am menerangkan letak duduknya situasi dirinya.

Melalui kata-katanya, aku perasan yang dia seperti pentingkan dirinya sendiri. Jadi, perkahwinan kami adalah untuk menyelamatkan maruah keluarganya semata-mata? Habis, apa nasibku selepas ini? Dibiarkan gantung tak bertali? Atau diceraikan selepas semua majlis tamat? Selepas itu apa yang bakal terjadi? Permusuhan antara keluarga? Arrgghh!! Pening!


^^^^^^^^^
p/s  #PrayforMH370

Friday, February 7, 2014

Without You 2


Aku terjaga dari tidur. Aku kerling jam di sisi. Sudah hampir ke subuh. Terasa baru sekejap aku tidur. Mimpi apakah itu? Aku baru tidur selepas mengerjakan solat istikharah meminta petunjuk adakah benar Abang Am adalah jodohku.






Apakah petanda mimpi itu? Aku bermimpi ada sepasang tangan yang menghulurkan sejambak bunga matahari. Tetapi badan dan wajah lelaki tadi langsung aku tak nampak. Hanya nampak tangan sahaja. Ya Allah, berilah aku petunjuk.

Azan mula kedengaran menandakan sudah masuk waktu subuh. Tanpa berlengah lagi, aku terus mandi lalu mengerjakan solat sunat sebelum subuh dan diikuti dengan solat fardhu subuh. Pada solat sunat aku membaca surah al-Fatihah diikuti dengan surah al-Kafirun manakala pada solat fardhu subuh pula aku membaca surah al-Fatihah dan surah al-Insyirah kerana aku pernah mendengar ustaz kata jika kita mengamalkannya dari awal, insyaallah dijauhkan dari penyakit berbahaya dan kronik. Aku juga mengamalkan mandi sebelum subuh dengan air sejuk kerana mengikut sunah nabi ianya akan menyegarkan tubuh badan dan membuatkan kita lebih sihat.

Semuanya aku belajar di sekolah tempat aku mengajar sekarang. Aku sungguh bertuah kerana dihantar untuk mengajar di sebuah sekolah agama bantuan kerajaan dan sekolah itu juga hampir dengan rumahku. Mudah untukku. Sekolah Agama Ar-Rayyan. Itulah sekolah tempat aku mengajar. Sekolah yang sangat damai. Pelajar-pelajarnya juga sangat bersopan santun dan pandai menjaga adab dan batasan lelaki dan perempuan. Sesungguhnya aku sungguh bertuah.



Usai mengerjakan solat subuh, aku terus mencapai al-Quran tafsir kecil yang terletak di atas meja. Aku menyambung bacaanku yang telah aku tanda muka suratnya dengan penanda buku yang dihadiahkan oleh pelajarku sempena Hari Guru tahun lepas.


Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya, kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui.    (Surah An-Nur ayat 32)




Aku berhenti seketika tatkala sampai ke ayat tersebut, Di sini, Allah menganjurkan lelaki-lelaki dan perempuan-perempuan untuk berkahwin jika telah ada kemampuan. Anjuran untuk berkahwin atau bernikah ini adalah salah satu cara untuk kita elakkan dari melakukan zina dan maksiat. Oleh itu, Rasulullah SAW dalam riwayatnya juga telah meletakkan panduan untuk kita umatnya dalam memilih pasangan yang betul.



Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud, "Kahwinilah wanita itu kerana empat perkara, kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikan dan kerana agamanya. Pilihlah wanita yang beragama, nescaya engkau akan selamat".




Setelah menyambung beberapa muka surat al-Quran, aku terus meletakkan al-Quran di atas meja lalu membuka telekung dan melipatnya dan disangkut di rak. Aku terus keluar untuk membantu umi membuat sarapan. Sarapan biasanya tidaklah banyak sangat kerana yang hendak makan hanyalah 3 orang. Aku, umi dan abah. Walaupun masih awal pagi, tapi aku sudah biasa kerana aku seorang cikgu. Cikgu haruslah kerja awal. Abah pula selepas balik dari surau terus sarapan. Walaupun sekarang cuti sekolah, aku sudah biasa begini.

Biasanya rutinku bermula pada pukul 5.30 pagi. Usai solat subuh, aku terus turun ke dapur untuk membantu umi membuat sarapan. Kadang-kadang umi seorang yang buat, aku tengok sahaja dan bantu apa-apa yang patut. Selepas abah balik, kami akan makan bersama.

Kemudian, aku akan menyiram pokok bunga di luar sambil menghirup udara segar. Selepas itu, aku terus bertolak ke sekolah dengan kereta Myvi putih aku. Walaupun rumah dan sekolah aku dekat, tetapi berpeluh juga kalau berjalan kaki. Adalah dalam 5 km.

Selepas itu mulalah rutinku sebagai seorang guru sekolah menengah. Aku akan balik ke rumah pada pukul 3 petang setelah siap semua tugasku.

Adik aku Husna Nabila yang kini berusia 20 tahun kini sedang bercuti dengan sahabatnya di Pulau Langkawi. Maklumlah, tahun depan sudah semester terakhir. Katanya hendak melepaskan stress selepas penat belajar hampir satu tahun. Macam-macam.

“Umi, hari ni masak apa?” soalku kepada umi yang sedang menyenduk nasi goreng untuk dimasukkan ke dalam bekas. Nampaknya umi sudah siap masak. Lambat lagi aku hari ini.
“Masak nasi goreng. Kakak tolong buatkan air. Umi tak sempat tadi.” Arah umi. Tangannya lincah bekerja.
“Okey. Tapi, umi…kenapa kakak rasa macam banyak je nasi goreng tu. Ada orang nak datang ke?” tanyaku sambil tangan ligat membancuh air. Biasanya aku akan buat 2 jenis air. Air kopi untuk abah dan air teh-O untuk aku dan umi.

“Nanti mak ngah nak datang.” Tutur umi yang membawa debar di hati.



**************************







“Assalamualaikum.” Aku terus mengintai dari dalam rumah tatkala mendengar suara orang memberi salam dari luar. Hatiku terus berdetak laju tatkala mata aku melihat mak ngah bersama keluarganya datang. Semua ada. Pak ngah, mak ngah, abang Am, dan adik bongsunya, Natasha Aqilah. Adiknya sebaya dengan Husna Nabila, adik aku.

Aku terus capai tudung sarung yang berwarna hitam yang tersadai cantik di lengan sofa. Tudung yang sama seperti semalam semasa Mak ngah dan abang Am datang. Memang itu tudung ekspresnya. Senang, sarung sahaja.

“Kakak, pergi sambut mak ngah tu. Umi ada kerja sikit ni.” Laung umi dari dapur. Entah kerja apa lagi yang hendak buat. Setahunya semua makanan sudah dihidang sekali dengan airnya. Pasti umi ada rancangan ni.
“Yelah.” Jawabku lemah. Aku menghela nafas lemah. Jantung sudah memulakan operasinya. Mahu terlompat jantung kalau laju sangat macam ni. Aku melangkah ke pintu utama lalu membuka pintu dengan senyuman manis.

“Jemput masuk mak ngah, pak ngah, Tasha…” Aku bersalam dengan mereka kecuali abang Am. Wajah abang Am pun aku tak pandang. Tetapi, aku dapat rasa mata abang Am tengah pandang aku sekarang ni. Wahai jantung, duduklah diam sikit kat dalam tu. Tak bernafas aku dibuatnya.

“Duduklah dulu. Ain buat air kejap.” Aku memberi alasan. Tidak betah untuk duduk di samping keluarga itu. Walaupun air sudah disiapkan awal lagi, namun aku rasakan itu sahaja alasan yang munasabah dan cepat yang mampu aku fikir setakat sekarang ni.

“Alah, tak payahlah susah-susah. Lagipun, kita orang dah minum kat rumah pun.” Ujar mak ngah. Apa aku peduli! Aku terus ke dapur setelah memberi senyuman manis kepada mak ngah. Aku cuba menghiraukan kewujudan abang Am.

“Eh! Dah sampai pun. Saya ada di dapur tadi panaskan lauk. Tu yang tak perasan semua dah datang.” Umi mula keluar setelah aku masuk ke dapur. Macam pass batton je. Umi ni…iya..iya je tak perasan. Tadi, umi jugak yang suruh aku ke depan. Apalah umi ni!

“Hah! Marilah ke meja makan. Sarapan dah sedia pun. Hari special sikit. Ain yang masak. Tulah, pagi tadi dia yang beria nak masak. Katanya, mak ngah nak datang.” Ajak umi ke meja makan. Aku di dapur sudah tersedak air liur. Apa umi ni? Tak ada kerja aku nak masak untuk dia orang! Umi bukan tak tahu, aku bukannya pandai masak pun. Malunya!

“Eh, Ain apa buat dekat dapur lama-lama? Airnya dah lama buat pun. Lupalah tu.” Umi bersuara lagi. Umi ni kenapa? Pelik semacam je. Takkan dah berkenan sangat dengan abang Am tu?

Aku keluar dari dapur dengan tangan kosong. Bibirku terukir senyuman sumbing. Semua mata mula menyerbu ke arah aku. Aku berdeham kecil. Aku terus mengambil tempat duduk di meja makan sebelah Tasha. Mujurlah meja makan ini mempunyai 8 kerusi. Berlebih satulah.

Abah yang tadi di bilik sudah turun setelah mendengar riuh rendah di bawah.

“Ain, cedoklah nasi goreng tu. Nanti sejuk pulak.” Aku berwajah manis. Tangan aku lincah mencedok nasi goreng ke pingan-pingan. Langsung aku tak angkat kepala kerana abang Am ada di hadapan aku. Aku cuba bertenang. Dia ni tak ada perasaan ke? Dah kena tinggal dengan tunang pun, masih steady lagi. Aku tak tahulah mampu ke tak aku nak jatuh cinta dengan dia balik. Entah kenapa sekarang ni, aku masih mengharapkan Nu’aim Adha untuk datang menyelamatkan keadaan. Kalau dia muncul sekarang, dan datang meminang aku, pasti aku terima tanpa ragu-ragu lagi.

“Eh, banyaknya nasi goreng tu. Siapa nak makan kakak?” Aku tersedar tatkala mendengar suara umi mencelah. Aku melihat pinggan yang kuisi, memang penuh satu pinggan. Entah berapa senduk aku letak? Ini mesti kes mengelamun. Buat malu je.

Sarapan kami diselangi dengan perbualan-perbualan kosong orang-orang tua. Sesekali ada juga abang Am dan Tasha mencelah. Cuma aku sahaja yang senyap. Tak tahu nak mencelah mana-mana. Aku mengajar sejarah bukan mengajar isu-isu semasa. Aku hanya mendengar sambil makan.



Tuesday, December 31, 2013

Cintaku Untukmu 6


Assalamualaikum. Today I continue CU part 6 lagi. Hope masih menanti..:)


^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^





Tok! Tok! Tok!

“Masuk.” Suara Rafiq kedengaran di dalam bilik pejabatnya. Tangannya lincah menaip laporan di laptopnya. Matanya hanya terpaku di dada skrin laptopnya sahaja.

“Bos, ada orang nak jumpa.” Ujar Rozita, setiausaha Rafiq yang berdiri berhadapan dengan Rafiq.
“Siapa, kak Ita? Bukan hari ni saya tak ada appointment ke?” tanya Rafiq kepada Rozita. Tangannya yang tadi lincah menaip kini terhenti seketika memberi perhatian kepada Rozita.

“Tu yang akak dah cakap dekat dia. Tapi dia suruh cakap yang Cik Alisha dan Qaira Erlisya yang datang.” Balas Rozita.

“Qaira? Dia tak sekolah ke hari ni?” tanya Rafiq perlahan. Lebih kepada bercakap kepada dirinya sendiri. Hari ini bukanlah hari minggu. Walaupun Qaira Erlisya baru berusia 3 tahun, tetapi Alisha berkeras untuk menghantar Qaira ke pusat nursery khas.

“Apa bos?”

“Tak ada apa-apa. Awak suruhlah dia orang masuk.” Jawab Rafiq. Jika Alisha seorang yang datang, mana mungkin dia benarkan masuk tetapi ini, Alisha membawa Qaira. Kasihan Qaira, lagipun dia pun sudah lama tidak bertemu dengan Qaira. Rafiq segera menutup fail lalu dia duduk menunggu di ruang sofa.


“Hai, sayang.” Ucap Alisha sambil suaranya sengaja dilunakkan sambil matanya memberikan lirikan menggoda kepada bekas suaminya. Baju gaun sendat berwarna kuning yang terdedah di dada menjadi pilihan Alisha hari ini. Tangannya memimpin Qaira Erlisya untuk masuk ke bilik Rafiq. Alisha terus duduk di sofa bersama Qaira di hadapan Rafiq.

Rafiq hanya merengus sambil menggelengkan kepalanya . Dia sungguh tidak faham dengan Alisha. Perbuatan dan percakapannya langsung tidak sesuai dengan status mereka. Namun, Rafiq hanya mendiamkan diri sahaja.


“Daddy… Qaira rindu sangat dengan daddy. Kenapa daddy dah lama tak balik rumah? Hari-hari Qaira tunggu daddy tau.” Tanya Qaira sayu. Ayat terakhirnya dia menundukkan kepalanya. Penampilannya yang memakai gaun labuh separas betis berwarna turqoise serta penyepit rambut di tepi rambutnya membuatkan dia tampil comel dan cute.

Rafiq tidak sampai hati melihat Qaira. Qaira masih mentah untuk mengerti makna penceraian. Qaira tentu masih mengganggap dia dan Alisha masih suami dan isteri yang sah. Rafiq terus menarik Qaira ke dalam pelukannya.

“Qaira…mestilah daddy rindu…sangat dekat anak daddy yang comel ni.”

“Habis tu kenapa daddy dah lama tak balik rumah. Daddy marahkan Qaira ke?” tanya Qaira yang masih berada dalam pelukan ayahnya.

Alisha hanya memandang sepi ‘jejak kasih’ antara Rafiq dan Qaira. Sebenarnya dia yang meracuni pemikiran anaknya itu. Hanya senyuman sinis yang terukir di bibir Alisha. Dia harap rancangannya berjaya.

“Eh, tak lah. Qaira mana ada buat salah. Qaira yang anak yang baik. Takkanlah daddy nak marah dengan budak baik ni.” Rafiq terus mengangkat Qaira ke ribaannya. Sudah lama dia tidak bertemu empat mata dengan anaknya. Selama ini dia hanya menghantar duit nafkah anaknya melalui akaun bank isterinya sahaja.

“You…you tak nak ajak kitaorang makan ke? Kan tengah lunch hour ni.” Alisha mula memainkan peranannya.

“Hari ni… tak bolehlah. I nak lunch kat rumah. Lagipun, I dah janji dengan wife I nak lunch dengan dia.” Bisik Rafiq perlahan. Tidak mahu Qaira mendengar.

“Lunch? Jomlah daddy. Kita makan KFC nak? Dah lama tau Qaira tak makan KFC. Tadi mummy cakap daddy nak belanja Qaira makan KFC hari ni.” Kata Qaira bersungguh-sungguh.

Rafiq sudah serba salah. Kini, dia harus memilih antara isteri tercinta atau anak tersayang.

“Daddy…jomlah. Qaira dah lapar ni. Jomlah.” Qaira sudah turun dari ribaan Rafiq lalu dia menarik-narik tangan Rafiq untuk keluar.

“You…jomlah. Takkan you nak hampakan Qaira semata-mata untuk perempuan tu?” ujar Alisha mencuba untuk memujuk Rafiq.

“Hei! Perempuan yang you cakap tu… wife I tau.” Bisik Rafiq dengan nada marah sambil jari telunjuknya dihalakan ke tepat di hadapan wajah Alisha.

“Huh! Whatever. Dah jomlah.” Alisha mula mendesak Rafiq.

“Daddy…cepatlah.” Ajak Qaira lagi. Kali ini, Rafiq sudah tidak mampu untuk menolak kerana Qaira sudah mengheret  Rafiq ke lif. Alisha pula dengan selamba memegang lengan Rafiq.

“Hish…lepaslah. I dah kahwin tau.” Ujar Rafiq sambil menarik lengannya yang sedang dipegang oleh Alisha. Nasib baik berlapik.

“Ala…you ni. Nanti apa pulak kata Qaira tengok sorang ke utara, sorang ke selatan. You ingat I nak sangat ke pegang tangan you ni? I buat ni demi Qaira tau. Kalau I boleh kenapa you tak boleh?” kata Alisha beralasan. Nampaknya rancangan yang diaturnya mula menampakkan hasilnya. Hatinya mula bersorak keriangan.



Setibanya di KFC yang berdekatan dengan office Rafiq, Qaira sangat gembira kerana dapat makan bersama mummy dan daddynya.

“Daddy…daddy suaplah Qaira. Dah lama daddy tak suap Qaira.” Tiba-tiba Qaira bersuara selepas lama mereka duduk makan. Qaira menghulur pinggan yang mengandungi seketul ayam paha, beberapa batang French fries, sos tomato, dan kentang putar.

Rafiq tersenyum. Dia menyambut huluran pinggan dari Qaira lalu dengan senang hati dia menyuap Qaira makan ayam yang telah disiatnya. Qaira nampak ceria. Qaira juga duduk di sebelah Rafiq manakala Alisha duduk berhadapan dengan bekas suaminya. Alisha hanya memerhati Rafiq dan diselangi dengan suapan nasi ayam.

“Daddy, Qaira suap daddy pulak. Aaa…” Qaira menyudu kentang putar lalu disuapnya ke mulut Rafiq. Rafiq yang menyedari itu lalu mendekati Qaira lalu membuka mulutnya luas-luas.



Terdengar gelak tawa Qaira dan Rafiq manakala Alisha lebih senyap. Di dalam kepalanya sudah direncana rancangan.

“Daddy…daddy makan comot. Hahaha…” tawa Qaira pecah lagi.

“You…sini I lap.” Alisha terus mengambil tisu yang terletak berdekatan dengannya lalu disapu tepi mulut Rafiq yang comot itu diikuti dengan lirikan dan senyuman yang menggoda.

Rafiq yang seperti tersedar ketelanjurannya, terus menyambar tisu di tangan Alisha lalu dia mengelap mulutnya sendiri. Suasana sedikit canggung di antara mereka sekeluarga.

“Daddy…daddy suaplah mummy jugak. Pity mummy.” Suara Qaira memecah keheningan. Qaira mengoncang lembut lengan Rafiq meminta Rafiq menyuap Alisha apabila melihat daddynya masih duduk diam.

“Daddy…cepatlah. Mummy pun nak suap macam Qaira, kan mummy?” sambung Qaira lagi. Alisha hanya tersenyum dalam hati. Dia sangat berharap Rafiq menyuapnya bagi menyempurnakan rancangan jahatnya.

Rafiq teragak-agak untuk menyudu kentang putar yang dihulur Qaira untuk Alisha. Namun, terlihat akan sinar mata Qaira yang beria-ria itu, Rafiq menurut sahaja.

Rafiq mengambil sudu lalu mencedok sedikit kentang putar lalu menyuap ke mulut Alisha. Alisha hanya menyambutnya dengan senyuman yang gembira. Rafiq pula menayangkan senyum palsu kerana tidak mahu Qaira syak apa-apa.

Qaira menepuk tangan apabila daddynya menurut arahannya.

“Okey, now mummy pula suap Qaira then daddy. Boleh, mummy?” Qaira membuat puppy face.

Alisha hanya mengangguk dengan diikuti senyuman yang sukar dimengertikan. Diaterus mengambil sudu kentang putar yang masih dipengang oleh Rafiq lalu mencedok sedikit lantas disuapnya ke dalam mulut Qaira.

Rafiq terkesima tatkala Alisha dengan beraninya menyentuh tangannya. Nampaknya Qaira semakin petah dan pandai. Pasti dia fikir keadaan Rafiq dan Alisha masih seperti dulu. Rafiq nampak seperti serba salah.

Sepatutnya kala ini dia ada di rumah menikmati juadah yang disediakan oleh isterinya namun perkara seperti ini pula yang berlaku. Pasti isterinya masih setia menunggunya di rumah. Sesungguhnya lupa untuk menelefon isterinya untuk memberitahu hari ini dia tidak balik makan. Telefonnya pula tertinggal di office.

“Daddy… open your mouth. Mummy nak suap tu.” Rafiq tersedar tatkala lengannya digoncang lagi oleh Qaira. Kini, dihadapannya ada tangan Alisha yang ingin menyuapnya ayam yang telah dicubit yang telah dicampurkan dengan sos.

Rafiq sedikit teragak-agak. Dia masih berpegang pada prinsip agama. Dia sedar bahawa tika ini dia dan Alisha sudah tiada ikatan. Jadi pastilah ada batas-batas yang perlu dia jaga. Lagi pula dia mempunyai seorang isteri yang setia menunggunya di rumah.

“Daddy cepatlah.” Qaira semakin mendesak.

“Qaira…tak apalah. Daddy dah kenyang lah tu.” Alisha membantah lembut. Tetapi di dalam hatinya, dia sungguh mengharapkan Rafiq menyambut hulurannya.

“Daddy…tengok mummy dah merajuk. Cepatlah daddy. This is the one and last okay?” Qaira seperti memujuk daddynya. Alisha semakin senang kerana kerjanya sangat mudah. Jika dia tahu Rafiq akan ‘layu’ seperti ini jika ada Qaira, sudah lama dia jalankan rancangan ini.

“Yelah. Tapi, ini last tau.” Akhirnya Rafiq bersetuju setelah melihat anaknya bersungguh-sungguh sebegitu. Qaira menyorak gembira.

Alisha mengangkat bahu dengan diirigi dengan cebikan di bibirnya tanda dia tidak tahu.
“Aaa…” ujar Alisha manja-manja. Badannya sudah dilentok-lentok sengaja ingin menggoda Rafiq. Namun, Rafiq hanya melihatnya biasa-biasa sahaja. Itu yang digeramnya. Jika lelaki lain pasti sudah tersungkur di kakinya.

Rafiq menyambut cepat-cepat huluran cubitan ayam itu. Namun tangan Alisha tetap terkena pada wajah Rafiq. Seperti disengajakan, sos yang dicalit pada ayam tadi seakan-akan memag dituju ke tepi mulut Rafiq. Lalu, Alisha dengan pantas mengelap tepi mulut Rafiq dengan tangannya.

Walaupun kesan sosnya sudah hilang, Alisha masih mengusap-usap tepi mulut Rafiq. Rafiq pula seperti terpukau. Dia seakan-akan nampak bayangan isterinya, Safiyya di hadapannya kini. Safiyya yang tersenyum manja kepadanya. Safiyya yang memandangnya dengan galak. Jari runcing Safiyya yang bermain di sekitar bibir Rafiq.  Rafiq membalas dengan senyuman yang ikhlas.

Terlihat akan respons positive yang diberi oleh Rafiq, dia semakin melebarkan senyumnya.

Rafiq tersedar apabila ada orang terlanggar kerusinya. Dia menepis kasar jemari Alisha yang bermain-main di bibirnya. Rafiq menrengus kasar. Dia menoleh ke sebelah. Patutlah senyap, Qaira sedang bermain dengan permainan yang dibelinya tadi.

“You jangan nak mengada-ngada, eh! I ingatkan sekali lagi, I dengan you dah habis, faham? We have finish! I dah kahwin dan I harap you dapat mulakan hidup yang baru.” Bisik Rafiq kasar. Tidak mahu anaknya terdengar akan pergaduhannya dengan Alisha.

“Dah, Qaira? Jomlah balik. Daddy nak masuk kerja pulak ni.” Tanya Rafiq kepada Qaira yang sedang ralit dengan permainan di tangan.

Qaira hanya mengangguk.

Rafiq terus membawa Qaira ke singki untuk mencuci tangan Qaira. Sebelum pergi Rafiq sempat menjeling Alisha. Alisha hanya membalas dengan senyuman manisnya.

“Daddy…bestlah hari ni. Esok nak makan dengan daddylah, boleh?” soal Qaira semasa dalam perjalanan ke pejabat Rafiq yang hanya mengambil masa sepuluh minit perjalanan.

“Iya..” Rafiq hanya melayan teletah Qaira yang sedang menyelit di tengah-tangah antara dia dan Alisha. Pada mulanya dia menyuruh Qaira duduk di hadapan tetapi Qaira lebih dahulu duduk di bahagian belakang. Jadi, Rafiq hanya membiarkan sahaja.

Tatkala melihat Qaira sudah terbaring penat di belakang, Rafiq mengambil kesempatan ini untuk berkata hati ke hati dengan Alisha.


*************************



“Mana abang ni? Dah pukul 1.30 ni. Takkan tak balik-balik lagi. Pagi tadi janji nak makan kat rumah. Tapi sampai sekarang, batang hidung pun tak nampak. Call pun tak berjawab. Mesej pun tak dibalas. Takkan abang ada meeting kut? Tapi, pagi tadi dia pesan suruh masak special… Huh! Mungkin ada urgent meeting kut.” Ngomel Safiyya. Tika ini dia cuba untuk bersangka baik. Jam dikerling lagi. Setelah berfikir panjang, Safiyya terus solat zohor.

Usai solat zohor, Safiyya menunggu Rafiq balik lagi. Walaupun agak tipis peluang untuk Rafiq balik ke rumah kerana sekarang sudah hampir pukul 2 petang. Telefon masih dalam genggaman Safiyya.

 Apabila telefon masih lagi senyap, Safiyya mendail pula nombor telefon Rafiq.
Huh! Masih tak angkat? Safiyya pun sudah berputus asa. Dia terus ke meja makan lalu diangkat tudung saji. Safiyya merenung lauk-pauk yang dihidangnya lama. Safiyya menghela nafas berat.

“Makanlah dulu. Perut pun dah lapar.” Desis Safiyya.


********************************

Friday, December 27, 2013

Hukum Menjawab Salam

Assalamualaikum. Hari ni saya nak share sikit tentang menjawab salam.* Eeww! Menjawab salam? Hello! benda ni budak tadika pun tahu. - mesti uolls fikir macam tukan. Memang satu dunia pun tahu, menjawab salam itu hukumya wajib tapi kita sekarang ni masih ada yang salah. Okey, tak paham? Tak apa. Saya akan bahagikan kepada beberapa situation.

Situasi 1:


Girl A menelefon Girl B.

Girl A : Hello... weh aku nak jumpa kau sekarang! Urgent ni.
Girl B : Apa-apa pun... Assalamualaikum dulu...
Girl A : Alah...aku nak cepat ni!


Okey...sampai kat sahaja. Benda-benda yang macam ni selalu sangat terjadi. Bila call/jawab call tu janganlah nak cakap Hello dulu tapi cakaplah Assalamualaikum.  Apa maksud Assalamualaikum? Assalamualaikum maksudnya sejahtera ke atas kamu. Kan bagus kalau kita doakan kat orang tu daripada kita cakap Hello, kan? Okey, kat sini saya nak clearkan satu benda memandangkan ada yang kurang pasti ataupun tak tahu. Hukum memberi salam adalah sunat manakala hukum menjawab salam adalah wajib. 


Situasi 2 :

Situasi ini pula sering kali terjadi kepada kita-kita.

Ibu : Ayah, adik, atuk dengan nenek kirim salam.
Ayah dan Adik : Waalaikumussalam...


Okey...ini adalah kebiasaan yang kita dengar dan mungkin yang kita buat. Saya nak tegaskan lagi sekali, hukum menjawab salam adalah WAJIB. Jadi, kalau kita tak buat, hukumnya HARAM dan kita BERDOSA. Firstly, saya nak jelaskan maksud WAALAIKUMUSSALAM.. Ianya membawa maksud dan sejahtera juga ke atas KAMU. Jelas?

Berbalik kepada situasi ibu dan keluarganya tadi, atuk dan nenek yang kirim salam. Jadi, kalau ayah dan adik tadi membalas waalaikumussalam, mereka bukanlah membalas salam nenek dan atuk tetapi membalas salam kepada ibu. Jadi, apa jadi dengan kiriman salam yang atuk dan nenek bagi tadi? Tak jawab lah. Kan?

So, macam mana nak buat? Okey, jawapan yang paling sesuai apabila ada orang yang 'mengirim salam' atau seumpamanya, kita boleh jawab WA'ALAIKA WA'ALAIHISSALAM...Apa pulak maksudnya? Maksudnya, Dan keatas kamu dan keatasnya sejahtera juga. See...itu barulah menjawab salam yang betul untuk situasi seperti ini. Okey...kalau kita dah tahu tapi kita buat jugak yang salah. Jadi, kita berdosa. So, please beritahu kepada kawan-kawan dan keluarga, ya? Tak naklah kita seorang sahaja yang tahu..


p/s : kepada para asatizah, jika saya salah, silalah tegur. Maaf, saya da'ie bukan mufti  
       *aik, macam pernah dengar je. Hihihihi..










Wednesday, December 18, 2013

Without You 1


Assalamualaikum... saya start buat novel lain pulak...hihihi..Actually I have lost idea on how to continue CU. So, instead of tunggu je untuk siapkan CU...I buat novel baru iaitu Without You yang ringkas dan santai.. Hope you guys enjoy it..:) 

^^^^^^^^^^^^^^^^^^

November, 2012






Minggu lepas Abang Am telah bertunang dengan gadis pilihannya. Dengar-dengar mereka akan melangsungkan perkahwinan setahun dari sekarang. Tempahan semua sudah dibuat. Tinggal tunggu tarikh sahaja. Teliti betul Makngah iaitu mak abang Am membuat perancangan.  Memang patut pun sepupuku yang satu ini mendirikan rumah tangga kerana usianya juga sudah 30 tahun. Tapi, sekarang ni aku tak tahu apa yang aku rasa? Sedih? Kecewa? Gembira? Marah? Entahlah.

Memang tak dinafikan dulu waktu aku umur  15 tahun, aku, Fitriah Qurratu’aini pernah ada perasaan suka kat sepupu aku itu, Izaryl Ilham. Tapi, lama-lama perasaan tu makin pudar setelah aku berjumpa dengan Nu’aim Adha. Aku kenal dia pun sebab dia sangat aktif dalam bidang sukan dan dakwah kat kampus dulu. Sejak itu aku mula memendam rasa dekat Nu’aim. Tanya sahajalah dekat kampus aku, siapa yang tidak kenal dengan ketua MPP kolej iaitu Nu’aim Adha.





Nu’aim Adha sewaktu aku dalam semester 2, dia di tahun akhir. Orangnya  tidaklah terlalu tinggi, mempunyai wajah sawo matang, tidak seperti Abang Am yang putih. Tidak dinafikan memang Abang Am memiliki rupa paras yang sangat menawan sehingga aku juga boleh tertawan.

Nu’aim Adha orangnya sangat berpegang teguh dengan agama. Susah nak tengok dia pandang perempuan sembarangan lagikan pula keluar berdua-duaan dengan perempuan yang bukan muhrim. Itulah sebabnya aku sangat tertarik dengan Nu’aim Adha.

Sehingga kini, hampir 3 tahun aku dan dia tidak bertemu. Mungkin dia telah berjaya menjadi peguam syarie mengikut dari apa yang dipelajarinya di kampus dulu. Entah kenapa, sehingga kini aku masih menunggunya walaupun aku tahu itu mungkin perkara mustahil.


***********


April, 2009


“Dipersilakan ketua MPP kita, Nu’aim Adha untuk memberikan tazkirah yang bertajuk Cinta.” Kata-kata pengerusi majlis mendapat sambutan ramai. Tajuk cinta? Memang satu topic hangat yang sentiasa dibincangkan di kampus aku. Cuba kalau buat topic akidah ke akhlak Rasulullah? Pasti berapa kerat sahaja yang hadir.

Aku duduk di bahagian tengah dewan. Aku datang pun disebabkan panelnya adalah Nu’aim Adha. Kalau tidak, jangan harap aku nak mendengar ceramah  di dewan panas ini.




“Ehem…assalamualaikum. Saya Nu’aim Adha seperti yang dinyatakan sebentar tadi. Hari ni saya bukanlah nak berceramah, tetapi hanya sekadar berkongsi ilmu yang sedikit ini.” Nu’aim Adha mula mengeluarkan suara emasnya.

Aku memandang Nu’aim Adha dengan tidak berkelip. Mendengar dengan penuh khusyuk. Kadang-kadang tanganku mencatit apa yang penting. Sesekali aku mengganggukkan kepala.

“Okay… Sekarang saya buka kepada sesiapa yang ingin bertanya.” Nu’aim Adha bertanya. Matanya meliar pada bahagian penonton di bawah pentas.

Kalau aku nak tanya boleh? Tapi nak tanya apa? Aci tak kalau aku tanya ‘ Abang Nu’aim dah berpunya ke belum?’ Aku segera menggelengkan kepala. Nak kena bahan apa?

Tiba-tiba ada seorang lelaki pergi ke hadapan iaitu tempat yang disediakan microphone.

“Assalamualaikum. Saya Adam Syamim dari fakulti multimedia. Saya ada tiga soalan. Pertama, salah tak kalau kita sukakan atau cintakan seseorang? Kedua, boleh ke kita merindui seseorang misalnya makwe sebab saya ada dengar benda ni boleh jatuh kepada zina hati, betul ke?  Last, kalau kita sukakan seseorang tapi dia dah jadi milik orang lain. Macam mana tu? Okay itu sahaja. Terima kasih.”



Aku lihat Nu’aim Adha di hadapan hanya tersenyum sambil mengganggukkan kepalanya. Tangannya sesekali mencatat di buku nota di tangannya. Aku tengok dia cool je. Kalau akulah, mesti dah terkucil. Dahlah kena bercakap depan hampir ratusan orang, lepas tu ditanya dengan soalan yang langsung tak dapat diagak macam tadi. Amik kau mamat tu tanya sampai tiga soalan.

“Terima kasih kepada yang bertanya. Saya jawab soalan satu dulu, tak salah kalau kita sukakan seseorang sebab itu adalah fitrah manusia.  Tetapi, seeloknya pada masa sekarang,janganlah kita bagitau atau confess dekat orang itu kerana sekarang kita masih belum mampu untuk menanggung keperluan si dia sedangkan diri sendiri pun masih ditanggung oleh ibu bapa. Kalau dah cukup semua, maksudnya ilmu rumah tangga, duit, rumah, semuanya, barulah kita bagitau orang itu. Tapi, seeloknya, jumpalah wali dia. Ingat, jauhi si dia, dekati walinya.” Panjang lebar penjelasan Nu’aim Adha.

Aku agak dia ni mesti dah terror bab-bab agama berbanding aku yang masih terkontang-kanting dalam bidang agama ini.

“Okay… soalan kedua pula iaitu tentang merindui orang yang tersayang maksudnya girlfriend ataupun boyfriend. Memang betul merindui seseorang itu boleh jatuh kepada zina hati. Namun kita kena tahu juga rindu yang macam mana? Maksudnya dekat sini, ia akan jatuh kepada zina hati jika kita fikir tentang perkara yang boleh menaikkan syahwat. Itu baru boleh di panggil zina hati dan dosa zina hati ini juga sama seperti dosa zina yang sebenar-benarnya. Tetapi, kalau setakat teringatkan gf atau bf itu adalah fitrah. Tapi, kita kena ingat. Jangan biarkan perkara fitrah itu jatuh kepada haram. Contohnya, makan itu fitrah tetapi jika makan benda-benda yang haram, itu dah haram. Faham?” pertanyaan Nu’aim mendapat sambutan hampir semua orang. Sesekali terbit senyuman dari bibirnya. Sangat kacak!

“And soalan last iaitu macam mana kalau orang yang kita suka menjadi milik orang lain. Hmm… kalau orang kita suka tu menjadi milik orang lain, bermakna dia bukan jodoh kitalah. Ingat, jodoh dan takdir  kita telah pun Allah tulis sewaktu kita sejak azali lagi di Luh Mahfuz Cuma masa sahaja yang menentukan. Sekiranya dia adalah jodoh kita, halanglah macam mana pun, larilah kemana pun, tetap akan bertemu. Macam kata pepatah, garam di laut asam di darat dalam kuali bertemu juga.”

“Okay…saya harap jelaslah apa yang saya sampaikan tadi. Ada soalan lagi?” tanya Nu’aim Adha sambil matanya meliar ke sekeliling dewan mencari sesiapa yang ingin bertanya.

Namun, hampir lima minit menunggu tiada siapa yang bertanya.

“Tak ada? Okay…saya anggap kamu semua fahamlah apa yang saya sampaikan. Akhirul kalam, saya nak kalian semua tadabbur dengan firman Allah dalam surah an-Nur ayat ke 26. Mafhumnya, Lazimnya perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat dan sebaliknya perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan- perempuan yang baik. Mereka yang baik itu adalah bersih dari tuduhan buruk yang dikatakan oleh orang- orang yang jahat mereka yang baik itu akan beroleh pengampunan dari Allah dan pengurniaan yang mulia. Sekian, assalamualaikum. ”

Aku hanya mampu mengaguminya sahaja. Sangat bagus dalam memberi tazkirah. Yang paling membuat aku kagum adalah dia hanya menyebut sahaja surat dan ayat al-Quran tanpa membuka kitab suci itu. Semakin mekar pula rasa cinta ini untuknya. Nu’aim Adha, aku akan sentiasa mengingati kata-katamu ini.


************************

November, 2012



Aku hanya duduk di rumah apabila semua orang keluar bekerja kerana aku bekerja sebagai guru Sejarah di Sekolah Menengah Sri Penawar. Aku hanya menghabiskan masa di hadapan tv selepas habis mengemas meja untuk makan tengah hari tadi. Di rumah, tinggal aku dan umi sahaja. Abah akan balik petang kerana dia bekerja hari ni manakala adik perempuanku pula memang tinggal di asrama. Minggu depan baru balik untuk cuti semester.

Aku terdengar seperti ada kereta yang masuk ke perkarangan rumahku. Bila kulihat, tengok-tengok makngah dengan Abang Am. Aku segera panggil umi di dalam bilik. Aku menarik cepat tudung sarung yang disidai di lengan sofa. Aku lihat muka makngah agak resah.



Pelik! Bukan ke lagi setahun Abang Am nak kahwin? Kenapa resah gelisah je muka makngah aku tengok? Aku menjemput makngah dan Abang Am masuk ke dalam. Aku hanya duduk di sofa bertentangan dengan Abang Am.

“Akak bual dululah dengan Am ni.” Pesan umi sebelum berlalu ke dapur bersama makngah.

Makngah aku lihat menarik umi ke dapur. Aku hanya membiarkannya sahaja sambil melayan drama kegemaran aku yang sedang ditayangkan di tv. Abang Am? Lantak dialah. Aku dengan dia bukan ngam pun dari dulu. Bukanlah aku suka mencari pasal dengan dia tapi aku dan Abang Am memang tak boleh masuk sebab aku tengok dari dulu dia ni jenis pendiam tapi kalau dengan kawan dia, laju je mulut dia membuka cerita. Aku pun malas nak menegur. Bukan ada topic yang best pun nak cakap dengan budak engineer ni. Langsung senyap dari tadi. Aku pun senyap jelah.

“Akak bincanglah dengan dia apa yang patut. Saya harap sangat dengan dia kak.” Perlahan sahaja suara makngah bercakap dengan umi ketika mereka berdua keluar dari dapur namun aku masih dapat menangkap jelas kata-kata itu oleh sebab kedudukanku yang agak dekat dengan dapur. Aku berfikir. Apa yang makngah dengan umi bincang tadi? Penting je sampai tarik ke dapur, macam rahsia kerajaan je.
“Ain, makngah balik dululah, ye.” Aku terus menyalami tangan makngah. Aku dan umi mengiringi makngah dan Abang Am keluar.

“Umi, makngah cakap apa tadi?” aku bertanya apabila kelibat mereka berdua telah tiada.
“Tak ada apa-apalah. Sibuk je budak ni.” Umi terus naik ke bilik setelah habis berkata. Aku lihat wajah umi pula yang resah gelisah. Aik? Apakah yang sedang berlaku?


*********************



“Akak, umi nak cakap sikit pasal makngah tadi.” Umi mengeluarkan suara apabila lama meja makan senyap tanpa suara. Bukan ke umi kata tiada apa-apa tadi? Habis sekarang ni?

“Apa dia?” aku hanya berlagak selamba. Mungkin tiada yang penting kot? Aku je yang lebih-lebih.

“Ermm.. akak tahukan Am dah tunang dan akan nikah tahun depan?” tanya umi seperti tersekat-sekat. Aku hanya mengangguk. Mestilah aku tahu, itupun umi yang beritahu.

“Akak… tadi makngah datang…dia cakap tunangnya Ilham nak minta putus.” Tergagap- gagap umi mengatakannya. Aku hanya memandang umi tanpa perasaan. Jadi? Apa kena mengena dengan aku?

“Makngah dah tempah semua. Tapi, jadi macam ni pulak….” Sambung umi lagi.

“Jap-jap, umi. Apa yang umi nak cakap sebenarnya ni? Go to point terus… Tak payah nak mukaddimah bagai.” Ujarku. Aku dapat rasakan sesuatu yang mungkin akan umi katakan. Namun aku cuba untuk berfikiran positive. Umi seperti teragak-agak untuk ke isi penting.

“Macam ni… makngah ada tanya akak. Tanya akak dah ada boyfriend ke belum. Kalau tak ada dia nak minta akak ganti.”

“Ha?!” hampir tersedak aku dibuatnya. Segera aku capai air di sebelahku. Aku ganti? Ingat kahwin ni macam main pondok-pondok ke? Senang-senang macam tu je boleh jadi pengantin perempuan?

“Tak ada orang lain ke yang boleh ganti? Kawan Abang Am ke? Takkan dia tak ada kawan perempuan lain?”  Aku terus mengeluarkan pendapat aku. Mungkin aku boleh terselamat.

“Tak ada. Makngah Cuma berharap dekat akak je sekarang ni. Jadi, macam mana?” aku pelik mendengar tutur kata umiku. Takkanlah engineer sekacak dia tak ada wanita yang minat. Dada masih dihentak dengan debaran yang kuat. Kini, masa depanku seratus peratus terletak di bahuku.


Aku menghela nafas berat. Kepalaku berselirat dengan pelbagai kemungkinan. Patutkah aku berkahwin dengan sepupuku sendiri untuk menutup malu? Lalu, apakah akan terjadi kepada perkahwinan ini kemudian harinya? Dapatkah aku menerima diri Abang Am sebagai seorang suami, bukanlah seorang sepupu? Dugaan apakah ini?


^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^

So how was it? Hope okaylah...untuk first part. Need your comments to improve it. Thanks..:)